Semasa

Tun M baru je tubuh parti PEJUANG, Sekali Syed Saddiq tak nak join. Ini alasan dia

SUNGKAI: Bekas Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman, hari ini membayangkan beliau tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang baru ditubuhkan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Muar itu turut membayangkan beliau akan menubuhkan satu gerakan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda bagi memastikan suara dan kebimbangan golongan itu didengari.

“Perkara pertama, tidak kira apa yang berlaku, saya masih lagi menghormati dan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, dan itu tidak akan berubah. Saya tahu partinya berada di landasan yang benar dan beliau ikhlas berjuang.

“Pada masa sama, saya masih lagi menghormati Muhyiddin (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana beliau yang membawa saya masuk ke dalam bidang politik dan saya akan terus menyokongnya.

“Namun, saya rasa, sudah tiba masanya untuk pemimpin muda yang menyertai BERSATU sebelum ini, yang disingkirkan atau dipecat oleh parti diberi peluang kedua,” katanya di sini, hari ini.

Rabu lalu, pemimpin PEJUANG mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftarkan parti itu.

Tujuh pengasas PEJUANG adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi; Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun); Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam); bekas Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya; Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading); Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan bekas Ketua Bahagian BERSATU Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Mahu Tubuh Parti Anak Muda

Syed Saddiq berkata, beliau percaya ada ramai pemimpin muda yang disingkirkan daripada BERSATU boleh menubuhkan parti baharu.

“Ada ramai daripada mereka yang lebih baik daripada saya seperti Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin, (bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU), Ulya Aqamah Husamudin dan mereka yang dipecat daripada parti.

“Walaupun saya masih belum menyertai parti itu, dan masih lagi Bebas, saya masih menyokong blok pembangkang. PEJUANG dan saya masih lagi keluarga tetapi pada masa sama, ramai pemimpin muda yang perlu diberikan peluang untuk menerajui parti,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, gerakan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda hanya akan ditubuhkan berdasarkan kepada suara majoriti orang muda di Malaysia.

“Kita akan tunggu pengumumannya. Ketika saya menyertai dunia politik, saya tidak pernah terfikir mengenai kuasa tetapi keutamaan saya ialah untuk memastikan suara orang muda boleh didengari.

“Ia bukan mengenai sebuah parti tetapi jika perlu, kita akan mempunyai satu gerakan berasaskan orang muda tetapi bukan hanya untuk orang muda. Bagaimanapun, ia bergantung kepada suara majoriti, Jawapannya terletak di tangan orang muda Malaysia,” katanya.

Parti PEJUANG mohon pendaftaran

Tujuh pengasas Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) hadir ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) petang ini, untuk mengemukakan permohonan rasmi mendaftarkan parti itu.

Bakal Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berharap ROS dapat meluluskan pendaftaran parti berkenaan secepat mungkin supaya pihaknya boleh terbabit secara langsung dalam proses demokrasi negara ini sebagai sebuah parti politik yang sudah mendaftar.

“Kami sudah menghantar permohonan secara dalam talian dan pada petang ini kami kemukakan salinan borang untuk diterima oleh pihak ROS untuk pertimbangan.

“Seperti mana biasa, ROS akan meneliti setiap butiran dalam permohonan ini terlebih dahulu bagi memastikan kita mematuhi segala syarat yang ditetapkan seperti bawah Akta Pertubuhan 1996 khususnya Seksyen 6 akta berkenaan.

“Buat masa ini tiada lagi jawatan kuasa yang dibentuk, dan kita hanya serahkan nama tujuh pengasas Pejuang sahaja. Selepas ini sekiranya (parti ini) diluluskan, maka kita perlu mengadakan mesyuarat penubuhan serta melantik 21 orang bagi mengisi jawatankuasa terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang permohonan berkenaan kepada Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *